Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Siapa Lelaki Bertopeng Malam...

SEPERTI biasa dalam mana-mana majlis penganugerahan di seluruh dunia, fungsinya bukan sahaja untuk...

Rizab BNM Sebanyak RM439.81...

KUALA LUMPUR - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM439.81 bilion (bersamaan...

Jawatan KM P.Pinang Akan...

GEORGE TOWN - Undang-undang Tubuh Negeri Pulau Pinang akan dipinda bagi membolehkan cadangan...

Gagal Dikesan 5 Negara,...

JAKARTA – Badan Search And Rescue Nasional (Basarnas) yang mengurus segala operasi mencari...

Lahad Datu: Pendakwaan Tutup Kes Tanpa Panggil Saksi Utama

KOTA KINABALU – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu menutup kes hari ini tanpa memanggil saksi utamanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihak pendakwaan tidak dapat mengesan pegawai Cawangan Khas (SB) yang telah bersara, SAC Zulkifli Abd Aziz, yang berperanan penting dalam rundingan dengan para penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pihak pendakwaan mempunyai tempoh sehingga hari ini untuk memanggil Zulkifli, yang berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas Sabah semasa pencerobohan itu, tetapi sebaliknya mengemukakan dua saksi untuk memberi keterangan berhubung usaha untuk mengesan pesara pegawai polis tersebut.

Koperal Muhammad Firdaus Jaimun dari Unit D5 Jabatan Siasatan Jenayah Sabah memberitahu mahkamah bahawa dia diarah oleh pegawai atasannya DSP Ang Seow Aun pada 1 Okt tahun lepas untuk menyerahkan sapina kepada Zulkifli.

“Saya telah diarahkan oleh DSP Ang ke rumah bernombor dua, tingkat 1, Blok B, Cyber City Apartment 1 untuk mengesan SAC Zulkifli.

“Apabila saya sampai di alamat tersebut, saya cuba untuk mengetuk pintu dan memanggil nama SAC Zulkifli, tetapi tiada jawapan,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata dia melakukan tugas itu setiap tiga hari selama dua bulan dan setiap kali dia pergi, rumah itu sentiasa sunyi dan gelap.

Kepada soalan Mohd Dusuki, koperal itu berkata DSP Ang juga mengarahkannya pada 15 Okt tahun lepas untuk menghubungi Zulkifli melalui dua nombor telefon bimbit dan dia mendapati nombor tersebut tiada lagi dalam perkhidmatan.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan bahawa Zulkifli tidak pernah berkahwin dan tidak pasti sama ada pihak polis pernah menghubungi mana-mana anggota keluarganya untuk maklumat mengenai keberadaannya.

Muhammad Firdaus berkata pada 20 Dis tahun lepas, dia diarahkan oleh Supt Zahari Mohd Sidek untuk mengesan Zulkifli di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kerana Zulkifli dipercayai telah menaiki penerbangan AirAsia ke Manila, Filipina.

“Kami menunggu SAC Zulkifli di Pintu 3, Balai Pelepasan sehingga semua penumpang menaiki pesawat. Tetapi SAC Zulkifli tidak muncul.

“Saya berhubung dengan Pegawai Kawalan Trafik Sarjan Rahman Salleh yang mana kami telah mendapati SAC Zulkifli tidak mendaftar masuk,” katanya.

Muhammad Firdaus juga menghubungi Jabatan Imigresen untuk mengesan pergerakan Zulkifli dan mendapati bahawa bekas pegawai polis itu meninggalkan negeri ini pada 7 Dis tahun lepas dan kembali enam hari kemudian.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa dia cuba mengesan motosikal jenama LCNOUVO milik Zulkifli dengan bantuan pegawai Cawangan Khas Sabah Insp. Zam Zam Mat Beh, yang memaklumkan kepada semua anggota polis daerah supaya mengarahkan penunggang motosikal itu berhenti dan memeriksa jika mereka ternampak kenderaan itu.


“Sehingga kini, motosikal ini gagal dikesan di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Kepada soalan oleh Mohd Dusuki, Muhammad Firdaus berkata pengumuman awam dibuat melalui TV3 berhubung usaha mencari Zulkifli, yang disiarkan menerusi siaran berita 1.30 tengah hari stesen televisyen itu pada 22 Dis tahun lepas selain di laman Facebook mereka.

Sementara itu, Ang memberitahu mahkamah bahawa semasa menjalankan siasatan mengenai insiden pencerobohan, dia menerima kenyataan Zulkifli yang dirakamkan oleh ACP Mohd Akhir Ishak.

“Saya telah membuat penandaan A27 pada kenyataan tersebut dan ia di bawah jagaan saya sehingga sekarang,” katanya.

Hakim Stephen Chung menolak permintaan pihak pendakwaan untuk membuat penandaan pada kenyataan itu sebagai barang bukti kes memandangkan Mohd Akhir, orang yang mencatatkan kenyataan Zulkifli, tidak dipanggil memberi keterangan.

“Kenyataan ini adalah untuk mengaitkan atau membabitkan tertuduh yang telah didakwa termasuk di bawah seksyen 121 dan 130KA Kanun Keseksaan, yang merupakan kesalahan serius, dan SAC Zulkifli dan ACP Mohd Akhir, kedua-dua mereka tidak boleh disoal balas.

“Atas alasan-alasan yang diberikan, kenyataan SAC Zulkifli tidak boleh diterima sebagai bukti terhadap mana-mana tertuduh,” katanya.

Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah telah berlangsung selama 239 hari sejak 6 Jan 2014 dengan 166 orang saksi memberi keterangan.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga pelbagai tuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu-individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Mahkamah menetapkan 25 Jan untuk mendengar penghujahan. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori