Lagi Panggilan Bom Palsu Di Universiti

PETALING JAYA – Satu panggilan palsu mengenai ancaman bom menyebabkan sebuah universiti swasta di Bandar Utama, di sini ditutup sementara dan lebih daripada 1,600 pelajarnya diminta segera berpindah demi keselamatan.

Kira-kira jam 11.50 pagi hari ini, seorang staf di First City University College mendapat maklumat daripada seorang individu tidak dikenali tentang kemungkinan terdapat ancaman letupan bom di universiti berkenaan.

Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohd. Zani Che Din berkata, pelajar diarah meninggalkan universiti itu selepas seorang staf mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa terdapat seorang pelajar membawa sebutir bom ke universiti berkenaan.

“Sebaik menerima panggilan, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di sekitar bangunan universiti.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan pasukan berkenaan di seluruh bangunan setinggi tujuh tingkat itu mendapati tiada sebarang objek dipercayai bom ditemui.

“Universiti itu dibuka semula kepada pelajar dan stafnya pada jam 2.30 petang setelah mendapat lampu hijau daripada skuad bom polis Selangor,” kata beliau dalam sebuah kenyataan.

Lagi Panggilan Bom Palsu Di Universiti

Mohd Zani berkata sesetengah pelajar universiti itu sedang mengambil peperiksaan dan pada ketika itu juga sedang berlangsungnya hari orientasi untuk pelajar baru.

Sebelum ini, Universiti SEGi di Kota Damansara turut dilaporkan menerima panggilan palsu yang mendakwa kononnya sebuah objek yang menyerupai bahan letupan berada di universiti itu.

Polis kini akan mengesan panggilan telefon terbabit dan menjalankan siasatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC

Loading...