Kutipan SST 2018 Sebanyak RM5.4 Bilion

PUTRAJAYA – Hasil kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tahun 2018 sebanyak RM5.4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah kutipan itu meningkat sebanyak 34 peratus daripada sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM4 bilion semasa SST dilaksanakan pada 1 September tahun lalu.

Jelasnya, peningkatan itu merupakan usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya dalam memberi kefahaman kepada peniaga melalui program pembabitan yang diadakan di seluruh negara.

“Sebanyak 18 sesi pembabitan (engagement) telah diadakan dan saya telah memghadiri semua sesi ini.

“JKDM turut mengambil inisiatif mengadakan program bimbingan bersama peniaga-peniaga bagi memastikan mereka memahami dan pada tahap pematuhan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Guan Eng, beliau juga menyangkal dakwaan bahawa kutipan cukai 2018 tidak mencerminkan situasi semasa ekonomi atau tidak disumbangkan oleh pendekatan berkesan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebaik sahaja mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, malahan ia bertentangan dengan sistem percukaian yang telah diperuntukkan di bawah undang- undang negara.

“Prestasi kutipan SST yang melebihi jangkaan juga memberikan gambaran perkembangan ekonomi yang telah berlaku pada tahun lalu.

“Kementerian Kewangan akan terus bersikap telus dan jujur dalam membuat kenyataan berkenaan keadaan ekonomi negara berpandukan fakta dan angka yang tepat,” katanya. – K! ONLINE