Kurang Didikan Asas Agama Antara Faktor Terlibat IS

KUALA LUMPUR – Kurang pendidikan asas agama yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah antara faktor mendorong golongan muda terlibat dalam kumpulan gerakan militan IS, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata berdasarkan penilaian yang dibuat, kewujudan kumpulan yang menyalahtafsirkan ajaran Islam khususnya berhubung konsep jihad, penghapusan dosa dan jalan mudah menuju ke syurga telah menarik minat mereka menyertai gerakan itu.

“Golongan ini juga yakin bahawa hanya kumpulan pengganas militan IS sahaja yang mampu menubuhkan negara Islam sepenuhnya mengikut acuan radikal mereka,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kok ingin mengetahui faktor yang menyebabkan golongan muda menyertai IS dan langkah kementerian mencegahnya.

Ahmad Zahid berkata perasaan benci dalam kalangan masyarakat Islam terhadap negara barat juga mendorong golongan itu bertindak berjuang bagi menentang kuasa besar yang dianggap sebagai musuh Islam.

“Mereka juga menganggap pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa gagal dalam melindungi dan mempertahankan nasib negara-negara Islam yang ditindas sekaligus menyemarakkan lagi semangat mereka untuk berjuang bersama-sama kumpulan pengganas tersebut,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan media sosial juga menjadi faktor dalam penyebaran fahaman dan ideologi untuk mempengaruhi dan menarik sokongan serta merekrut anggota baharu kumpulan pengganas itu.

“Ia diburukkan lagi dengan pengaruh rakan sebaya yang berperanan mempengaruhi golongan ini untuk terlibat sama dalam aktiviti kumpulan ekstremis agama khususnya kumpulan pengganas militan IS,” katanya. – BERNAMA

Loading...