Kumpulan ‘Mata Besar’ Pecah Rumah & Curi Kenderaan Ditahan

SEREMBAN – Polis menahan sembilan anggota ‘Kumpulan Mata Besar’ yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan mencuri kenderaan di negeri ini dan Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Nor Azman Muhammad Yusof berkata kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 52 tahun itu diberkas dalam bebarapa siri serbuan dari awal November tahun lepas hingga pertengahan bulan ini.

“Kesemua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan pihak polis turut merampas enam kereta curi dari kumpulan terbabit yang dianggarkan bernilai RM400,000,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Nor Azman berkata antara kereta yang dirampas dari kumpulan terbabit ialah Perodua MyVi, Honda City, Toyota Innova, Toyota Camry, Proton Waja dan Toyota Mark X.

“Modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah mangsa dan dalam masa yang sama mengambil kunci kereta dan melarikan kereta mangsa.

“Kereta yang dicuri ini biasanya akan dijual semula di pasaran gelap dan ada juga yang diambil alat gantinya untuk dijual semula,” katanya.

Nor Azman berkata pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan saki-baki anggota kumpulan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – BERNAMA