KSP RMK-11 Bakal Perkukuh Golongan B40

KUALA LUMPUR – Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), yang bakal dibentangkan Oktober ini akan memperkukuh langkah-langkah bagi mempertingkatkan pendapatan isi rumah terendah atau B40, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, antara inisiatif utama adalah melalui latihan kemahiran bagi mempertingkatkan akses mereka dengan pekerjaan bergaji tinggi, menggalak aktiviti keusahawanan serta pembiayaan mikro kredit dan meningkatkan produktiviti.

“Kerajaan tekad memberikan peruntukan secara adil dan saksama kepada semua negeri dan penyaluran peruntukkan pembangunan akan dizahirkan di dalam hala tuju baru KSP RMK-11 yang dirangka kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Jawapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Jonathan Yasin (PKR-Ranau) yang ingin mengetahui mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menghapuskan jurang pembangunan, kemudahan infrastruktur dan kemiskinan di antara Sabah dan semenanjung.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan Pakatan Harapan komited dalam usaha meningkatkan pembangunan di antara Sabah dan semenanjung.

Ia bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang ramai dan kerajaan juga akan menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti serta peningkatan pelaburan.

“Secara tidak langsung ia akan memanfaatkan orang ramai termasuk dari segi peluang pekerjaan dan keusahawanan,” katanya.

Usaha juga sedang dipergiat di Sabah, termasuk penyediaan jalan raya, pengangkutan awam dan bekalan elektrik.

Pada RMK-10, kira-kira RM20.6 bilion telah diperuntukkan kepada Sabah untuk tujuan pembangunan, iaitu 8.6 peratus daripada peruntukan pembangunan negara.- BERNAMA

Loading...