KPDNHEP Kedah Rampas Pelapik Brek Kenderaan Tiruan Di Jitra

ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 174 unit pelapik brek gantian tiruan dan tiada cop keselamatan Sirim Berhad (SIRIM) pelbagai jenama, bernilai lebih RM36,000 yang dijual di tiga premis pemborong alat ganti kenderaan di Jitra, dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah Chin Ching Chung berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP Alor Setar bermula pukul 11 pagi selepas menerima maklumat orang awam serta pemantauan di premis berkenaan.

Katanya hasil serbuan mendapati ketiga-tiga premis itu menjual pelapik brek gantian tiada cop SIRIM MS1164 dan pelapik brek tiruan dengan pelbagai jenama.

“Siasatan kita mendapati kegiatan ini telah lama dilakukan demi mengaut keuntungan berganda kerana pelapik brek yang diperolehi mereka hanya dibeli sekitar RM30 hingga RM40, namun dijual kepada pengguna dan siap dipasang pada kenderaan dengan harga RM300 hingga RM400.

Saya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan menggunakan pelapik brek gantian yang mempunyai cop SIRIM, KPDNHEP akan terus memantau alat ganti kenderaan yang berada di pasaran bagi menentukan alat ganti yang dijual adalah tulen dan selamat digunakan oleh pengguna,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya bagi kesalahan tidak mempunyai cop SIRIM, kes di siasat mengikut Seksyen 29 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan seterusnya bagi pertubuhan perbadanan dan bagi individu denda dikenakan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Bagi kesalahan menjual barangan tiruan kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi satu unit barang tiruan jika pertubuhan perbadanan dan jika melibatkan individu denda maksimum RM10,000 bagi setiap unit barang tiruan akan dikenakan.

KPDNHEP Kedah akan menjalankan siasatan dari mana alat ganti itu diperoleh sama ada di dalam pasaran tempatan atau luar negara sebelum tindakan mengesan pembekal alat ganti kenderaan yang menyalahi peraturan itu dilakukan.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan pakej penukaran minyak pelincir yang murah oleh pengusaha bengkel kerana dibimbangi ditipu dengan minyak pelincir kitar semula yang tidak selamat.

“Bagi kes-kes sebelum ini memang ada bengkel kereta menjual minyak pelincir kitar semula dengan menawarkan pakej yang murah dan menarik, saya berharap pengguna carilah minyak pelincir di stesen-stesen minyak yang tulen dan tidak merosakan enjin kenderaan mereka dan menjejaskan keselamatan penumpang, ” katanya. – BERNAMA

Loading...