KPDNHEP Johor Rampas 230 Tong lPG Bernilai RM53,590

KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas 230 tong berisi 6,100 kilogram gas petroleum…

KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas 230 tong berisi 6,100 kilogram gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM53,590 dalam serbuan di dua premis pemborong di Taman Tan Sri Yaacob, Johor Bahru, semalam.

Pengarahnya Khairul Anwar Bachok berkata serbuan pada 12.15 tengah hari itu melibatkan 13 anggota penguatkuasa selepas melakukan risikan selama tiga hari.

“Di premis pertama, kita merampas lebihan 150 tong LPG bersaiz 14 kilogram (kg) keseluruhannya membabitkan berat 2,100kg. Kesemua tong ini merupakan lebihan tong yang dimiliki pemborong kerana had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan hanya 15,000 kg sahaja.

Di serbuan kedua pula, kita merampas lebihan 80 tong gas LPG bersaiz 50kg yang keseluruhannya seberat 4,000 kg di mana ia melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 9,000 kg,” katanya kepada pemberita di stor eksibit KPDNHEP Johor di Senai di sini hari ini.

Khairul Anwar turut berkata pihaknya telah mengambil keterangan pemilik premis bagi membantu siasatan dan hasil siasatan awal mendapati kedua-dua pemborong telah menjalankan operasi kira-kira lima tahun lalu.

Kes ini disiasat mengikut Peraturan 10 (1) dan Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu peruncit memiliki barangan kawalan melebihi had yang dibenarkan pengawal dalam lesen dan gagal mematuhi arahan pengawal.

“Jika sabit kesalahan bagi individu, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Jika kesalahan berulang dan seterusnya, boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan membabitkan pertubuhan atau syarikat, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM2 juta dan tidak lebih daripada RM 5 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Khairul Anwar berkata serbuan terbaru itu adalah kali ketiga dijalankan pihaknya pada bulan ini dan pihaknya memandang serius serta akan terus menjalankan operasi yang sama ke atas mana-mana premis yang menjual, membekal atau menyimpan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan undang-undang dipatuhi. – BERNAMA

Loading...