Koperal Polis Didakwa Minta, Terima Rasuah

IPOH – Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Faizal Mat Ail, 41, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahas di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Simpang dekat Taiping di sini, meminta suapan RM2,000 daripada Shahrul Amri Abd Rahim atas dorongan untuk memulangkan lesen memandu dan kad pengenalan lelaki terbabit dan tidak merujuknya kepada Polis Tentera di Taiping pada kira-kira 3 pagi, 12 Sept 2015.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menerusi Seksyen 24 (1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bapa kepada tiga anak itu juga didakwa bersetuju menerima suapan tersebut sebanyak RM2,000 daripada Shahrul Amri sebagai dorongan untuk memulangkan lessen memandu dan kad pengenalan lelaki terbabit dan tidak merujuknya kepada Polis Tentera di Taiping kira-kira 4 petang, 14 Sept 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda dengan lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Indra Nehru turut menetapkan 4 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…