Koperal Aksem Didakwa Tiga Pertuduhan Rasuah

KANGAR – Seorang anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM7,000 tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Koperal Abdul Halim Darus, 59, didakwa menerima rasuah RM3,000 daripada seorang pengadu agar tertuduh tidak mengambil tindakan ke atasnya yang disyaki menyeludup daum ketum ke Thailand.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lot F784/8788, Kampung Melayu, Jalan Belakang Balai Bomba, Padang Besar pada 3 petang, 7 April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Halim didakwa meminta rasuah RM3,000 daripada pengadu dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui nombor telefon miliknya ke nombor pengadu bagi mengelak pengadu dikenakan tindakan yang disyaki menyeludup daum ketum ke Thailand.

Dia melakukan kesalahan itu pada 12.24 tengah hari, 4 Mei 2016, dan pengadu menerima SMS itu ketika berada di alamat sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada pengadu di kawasan parkir Aksem, Padang Besar pada 9.50 malam, 6 Mei 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Abu Hassan menetapkan 22 dan 23 Mei ini tarikh perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.

Pegawai Pendakwa SPRM Syahrul Khuzaini Amiruddin menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Aida Nabihah Mukhtar. – BERNAMA