Kok Mahu Najib Henti Kelirukan Isu Eksport Minyak Sawit

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti mengelirukan orang ramai kononnya terdapat perubahan mendadak…

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti mengelirukan orang ramai kononnya terdapat perubahan mendadak dalam trend eksport minyak sawit Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Katanya, Najib sepatutnya mengetahui isu tersebut dengan lebih baik dan melihat gambaran yang lebih besar daripada mempertikaikan perkara-perkara yang tidak penting.

“Faktanya, perangkaan eksport bagi tempoh Januari hingga September 2018 menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 3.6 peratus kepada 18.27 juta tan berbanding hanya 17.63 juta tan bagi tempoh yang sama pada 2017,” kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Kok berkata demikian bagi menjawab catatan Najib dalam Facebook beliau pada Isnin lepas, yang menyatakan bahawa eksport minyak sawit Indonesia meningkat pada setiap bulan berbanding dengan tahun lepas, manakala Malaysia merekodkan kemerosotan.

Najib dalam catatan itu, mendakwa selepas pilihan raya, eksport minyak sawit telah jatuh pada setiap bulan, kecuali September iaitu selepas kerajaan baharu memansuhkan cukai lima peratus ke atas eksport komoditi itu.

Kok berkata Najib sewajarnya tahu bahawa komoditi berorientasikan eksport seperti minyak sawit serta minyak sayuran dan lemak, sentiasa mengalami perubahan dalam harga dan kuantiti eksport.

“Sejak beberapa tahun lepas, wujud ketidakstabilan dalam eksport pasaran komoditi dan ini merangkumi minyak kelapa sawit, harga pula ditentukan oleh pasaran global.

“Beliau sepatutnya tahu mengenai sebab serta faktor yang memberi kesan ke atas harga termasuk eksport minyak sawit dan ini merangkumi, kitaran dalam permintaan serta penawaran, perayaan, lebihan stok dan ekonomi global,” katanya.

Kok menegaskan industri minyak sawit Malaysia memiliki struktur yang baik serta mampan, ia telah mempamerkan daya tahan yang kukuh sepanjang 2018, walaupun berhadapan dengan penurunan harga global dan kementerian yakin bahawa jumlah eksport minyak kelapa sawit sehingga hujung 2018 akan menjadi lebih baik berbanding 2017.

Kementerian dan agensi-agensinya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia sedang berusaha bagi memperhebatkan langkah-langkah untuk mengembangkan pasaran eksport negara.

“Komitmen ini juga akan memastikan bahawa jumlah dagangan pasaran minyak sawit negara yang secara tradisionalnya tinggi akan mencatatkan pengukuhan semula khususnya pada awal tahun hadapan,” kata Kok. – BERNAMA