Khairy Harap Atlet Kekal Kecemerlangan Di Incheon

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap atlet negara yang cemerlang di Sukan Komanwel, Glasgow meneruskan pencapaian itu pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Khairy menamakan beberapa sukan termasuk skuasy, badminton, terjun di samping hoki dan tenpin boling yang dilihat berpeluang cerah meraih pingat di Incheon bermula 19 September ini.

Pada Sukan Komanwel 2014 Julai lepas, Malaysia memperoleh pingat emas menerusi Datuk Nicol David dalam acara skuasy, badminton meraih tiga pingat emas dalam acara berpasukan, beregu lelaki dan wanita manakala acara terjun menerusi Tze Liang dalam acara 3m platform individu lelaki.

“Sasaran pingat diletakkan kepada atlet yang telah meraih pingat pada Sukan Komanwel…Saya harap pencapaian lebih baik pada Sukan Asia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut berharap atlet negara dapat menggandakan semangat dalam program latihan pusat yang bermula esok di Hotel IOI Palm Garden Resort IOI di Putrajaya.

“Kita membuat keputusan tidak mengadakan latihan pusat bagi Sukan Komanwel, jadi kita mengambil daripada pengalaman di Sukan Komanwel itu, kita dapati bahawa semangat berpasukan sangat penting,” katanya.

Sebanyak 288 atlet dan 133 pegawai akan menyertai kontinjen negara ke Sukan Asia kali ini.

Sementara itu ketika mengulas kekalahan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kepada Yemen 0-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa semalam, Khairy berkata beliau tetap positif peluang skuad Harimau Muda A untuk melepasi saingan peringkat kumpulan di Incheon nanti.

“Sukan Asia merupakan satu cabaran besar buat skuad bola sepak negara, kita tidak tahu sejauh mana prestasi sehingga kita sampai ke sana. Pasukan juga diundi dalam kumpulan yang sukar. Saya yakin dengan kerancakan permainan semalam, kita sekurang-sekurangnya boleh melepasi saingan peringkat kumpulan,” katanya. – BERNAMA

Loading...