Khairul Hafiz Masih Bergelut Untuk Pulihkan Prestasi

KUALA LUMPUR – Jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan berkata beliau gagal beraksi dengan baik pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 yang berakhir hari ini kerana masih gagal mengembalikan semula prestasi terbaiknya.

Bercakap kepada Bernama, Khairul Hafiz, yang dikenali sebagai ‘Speedy Jantan’, mengakui beliau sedang bergelut untuk kembali menemukan rentak terbaiknya dalam acara 100m dan 200m, sejak mengalami kecederaan otot paha pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos, tahun lepas.

“Buat masa ini kondisi badan saya tidak begitu selesa untuk berlari mungkin disebabkan kecergasan otot saya masih di tahap lemah. Sejak pulih daripada kecederaan, saya berusaha keras untuk mencapai tahap terbaik tetapi mungkin disebabkan beberapa kekangan, apa yang saya inginkan tidak tercapai.

“Sepanjang sembilan bulan lepas saya mengharungi beberapa situasi yang ada kalanya mengganggu emosi saya. Antaranya, saat berlatih tanpa jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru, tetapi semua itu menjadikan saya seorang atlet yang lebih matang,” katanya.

Semalam, pemenang pingat emas temasya KL2017 berusia 20 tahun itu menamatkan saingan 100m di tempat kelima dengan catatan 10.64 saat (s) dan merekodkan masa 21.27s untuk meraih pingat gangsa acara 200m di Stadium Nasional Bukit Jali di sini, hari ini.

Catatan atlet kelahiran Melaka dalam kedua-dua acara itu jauh tersasar daripada rekod 100m kebangsaan miliknya 10.18s yang dicatatkan di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 selain rekod 200m kebangsaan 20.90s di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

Catatan masa terbaik Khairul Hafiz acara 100m tahun ini adalah 10.34s yang dicatat pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018, namun gagal meneruskan kecemerlangannya itu pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan lepas apabila merekodkan catatan 10.50s untuk menduduki tempat keempat dalam saringan pusingan pertama.

Berikutan prestasi hambarnya itu, beliau berkata sesetengah pihak tanpa menghiraukan perasaannya lantang mengkritik serta membuat pelbagai andaian yang tidak tepat.

“Orang ramai mengharapkan lebih daripada saya mungkin disebabkan saya ini pemegang rekod kebangsaan tetapi mungkin mereka lupa saya baru berusia 20 tahun, perjalanan saya masih panjang dan bila terlalu banyak tekanan ia akan lagi memberi kesan negatif kepada saya.

“Ada yang mendakwa saya sudah lupa diri dan leka hanya kerana saya kalah atau tidak menepati sasaran. Ada juga yang berkata faktor wanita mempengaruhi prestasi saya. Orang melihat saya sebagai pelari terpantas negara tanpa menyedari kalah dan menang itu adat dalam sukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak berkecil hati sebaliknya berterima kasih kepada pihak yang mengkritiknya dan mahu mengambil kritikan tersebut secara positif dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus gigih berusaha mencipta kejayaan di masa hadapan.

“Bagi orang yang berkata-kata, saya rasa mereka patut tahu apa yang sedang dilalui seseorang atlet itu. Bukan kita nak kalah tetapi mungkin keadaan belum mengizinkan. Saya akan ambil segala kritikan itu dengan hati terbuka dan akan terus gigih berlatih,” katanya. – BERNAMA

Loading...