Khairul Hafiz Jantan Gagal Ke Podium Acara 100m

KUALA LUMPUR — Hilang fokus sekali lagi menjadi alasan jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, mempamerkan aksi hambar dan gagal menaiki podium dalam acara 100m lelaki di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di sini hari ini.

Mendakwa pelari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva, melakukan ‘false start’, Khairul Hafiz sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 10.64 saat (s) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Catatan pelari berusia 20 tahun, yang juga dikenali sebagai ‘Speedy Jantan’, jauh tersasar daripada rekod kebangsaan miliknya 10.18s yang dicatatkan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

Beliau turut menyatakan alasan sama semasa merekodkan catatan 10.50s untuk menduduki tempat keempat dalam saringan pusingan permata pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan lepas.

Emas pada saingan terbaru ini disandang oleh Vinoj Suranjaya dengan catatan masa 10.27s, yang turut diiktiraf sebagai rekod baharu kejohanan.

Pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi pelari pecut kebangsaan, Jonathan Nyepa (10.40s) dan Muhammad Haiqal Hanafi (10.58s).

Khairul Hafiz,yang ditemui pemberita selepas acara itu, meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan beranggapan acara akhir itu sepatunya dibatalkan selepas mendakwa atlet Sri Lanka itu melakukan ‘false start’.

“Saya geram dan tak puas hati. Tapi nak buat macam mana, bukan rezeki saya. Saya terima keputusan itu,” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berkata situasi tersebut ternyata menganggu fokus lariannya.

“Saya bermula lambat kerana menyangka larian itu dibatalkan tetapi tidak dan pelari di lorong lima (Sri Lanka) telah pun berlepas. Saya tidak pasti macam mana pegawai kejohanan yang berada di situ tidak nampak sedangkan ia sangat jelas,” katanya.

Bagaimanapun, Khairul Hafiz berpeluang menebus kekecewaan dalam acara 200m esok dan acara 4x100m, Ahad ini.

Sementara itu, ratu pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang mewakili kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menepati ramalan apabila merangkul pingat emas dengan catatan masa 11.65s.

Pingat perak dimenangi pelari Sri Lanka, R.M. Rumenshika Rathmayake dengan kepantasan 11.76s manakala gangsa menjadi milik seorang lagi atlet ATM, S.Komalam Shally dengan masa 11.91s.

Dalam pada itu, pemegang rekod lompat tinggi wanita kebangsaan dengan catatan 1.83 meter (m), Yap Sean Yee dari ATM gagal menyinar selepas kandas pada lompatan setinggi 1.66m untuk meraih pingat perak.

Pingat emas dimenangi atlet Perak, Ngu Jia Xian dengan lompatan 1.71m yang turut merupakan catatan terbaik peribadinya manakala atlet Sarawak, Nick Ezzany Sarawa Zulkarnain meraih gangsa dengan catatan 1.40m.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-95 ini berlangsung selama tiga hari dan akan berakhir Ahad ini. — BERNAMA

Loading...