Ketua Jabatan ‘Gatal’ Digantung Tugas 2 Bulan

KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Sungai Buloh yang didakwa terlibat dalam kes salah laku seksual telah digantung tugas selama dua bulan mulai semalam.

Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Tahan Kerja di bawah Peraturan 43 ke atas ketua jabatan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat SPA dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam bagi membolehkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan iasatan lanjut secara terperinci.

“Susulan daripada arahan Perintah Tahan Kerja tersebut, Kementerian Kesihatan akan memulakan siasatan dalaman pada minggu depan sebelum laporan siasatan diserahkan kepada SPA bagi tujuan penamatan perkhidmatan ketua jabatan itu.

“Kementerian Kesihatan turut mengesyorkan Majlis Perubatan Malaysia agar membatalkan lesen pengamal perubatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perjumpaan tertutup selama dua jam bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Ortopedik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Pada 11 September lalu, Kosmo! Online melaporkan panel Badan Siasatan Bebas mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan mengambil tindakan menggantung tugas selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Badan siasatan tersebut dianggotai pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – K! ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...