Kes Saman Nik Nazmi Terhadap Bekas Peguam Negara Ditetapkan Pada 23 Mac

KUALA LUMPUR – Pengurusan kes saman Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan berhubung dakwaan salah laku kerana mendakwanya buat kali kedua mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, ditetapkan pada 23 Mac ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Roslan A. Bakar menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Syahredzan Johan mewakili Nik Nazmi selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom, mewakili Abdul Gani dan kerajaan selaku defendan dalam kes saman itu.

Syahredzan ketika ditemui pemberita berkata tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 7 dan 8 Mac turut dilapangkan ke tarikh lain berikutan anak guamnya mempunyai satu kes lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bagaimanapun, tarikh baharu bagi perbicaraan kes saman itu masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

Pada 5 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan 13 hingga 16 Jun ini untuk perbicaraan kes yang dihadapi Nik Nazmi atas dakwaan menganjurkan perhimpunan ‘Black 505’ tanpa kebenaran di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya pada 2013, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada 31 Mac 2015, Nik Nazmi, 34, memfailkan saman itu dengan mendakwa Abdul Gani telah melakukan pendakwaan yang berniat jahat kerana bertindak mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei 2014, walaupun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nik Nazmi berkata sebelum ini beliau telah didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei 2013 atas tuduhan menganjurkan perhimpunan program penerangan negeri Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei 2013, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Namun, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Selangor itu berkata pada 6 Mei 2014, mahkamah telah melepaskan tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu atas alasan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 diisytiharkan batal dan tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Nik Nazmi berkata tindakan Abdul Gani mendakwanya buat kali kedua bagi pertuduhan yang sama menyebabkan reputasinya tercemar dan menggambarkan beliau sebagai seorang penjenayah yang memberi ancaman terhadap keselamatan negara yang harus dibawa ke mahkamah meskipun telah dilepaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya itu.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas sebanyak RM80,000, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Loading...