Kes Rasuah Pengarah Kastam Perak, KL Disebut Semula 19 Dis

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 Dis ini untuk sebutan semula kes Pengarah Kastam Perak Datuk Mohd Nasir Said dan Pengarah Kastam Kuala Lumpur Datuk Mohd Isa Endot yang menghadapi tuduhan rasuah membabitkan penyeludupan arak tanpa cukai.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes kedua-dua pengarah itu di hadapannya hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula selepas 10 Nov ini.

Ini kerana terdapat beberapa tertuduh lagi yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pada tarikh itu (10 Nov), pihaknya akan memohon untuk memindahkan kes mereka ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, katanya.

Selain Mohd Nasir dan Mohd Isa, Noradidah menetapkan tarikh sebutan sama iaitu 19 Dis terhadap 29 individu lain yang turut didakwa terhadap kesalahan itu.

Pada prosiding sama, peguam Syed Ismat Syed Muhamad yang mewakili Mohd Isa, mengemukakan bantahan berhubung pertuduhan yang dikemukakan terhadap anak guamnya.

“Kami memohon agar pihak pendakwaan kemukakan butiran lengkap dalam pertuduhan (identiti saksi). Jika butiran tidak lengkap, ia akan memprejudiskan anak guam kami yang perlu menyediakan pembelaan kelak,” katanya.

Muhammad Saifuddin berkata mengikut Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009, pihaknya dibenarkan untuk tidak mendedahkan identiti individu yang berada bawah program perlindungan saksi.

Noradidah kemudian menetapkan 4 Dis ini untuk mendengar hujahan berhubungan bantahan itu.

Pada 23 Okt lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes Mohd Nasir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mohd Nasir, 58, mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM80,000 berhubung tindakan individu dan syarikat membawa masuk arak tanpa cukai.

Ia adalah sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan atau menggunakan pengaruhnya agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap dua individu dan syarikat yang mempunyai kepentingan bagi kesalahan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Mohd Nasir, yang ketika itu Pengarah Kastam Melaka, didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada Oktober 2012 serta antara Januari dan Julai 2014 di Pasaraya Tesco Taman Midah, Cheras dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi.

Mohd Isa pula mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,000 sebagai bayaran bulanan dan wang perlindungan bagi melicinkan semua urusan Kastam sebuah syarikat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Aras 5, Blok C, Wisma Kastam Kelana Jaya antara Mei dan Ogos lepas. – BERNAMA