Kes Majikan Bunuh Amah Disebut Semula 28 Mei

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes seorang majikan yang didakwa atas pertuduhan membunuh pembantu rumahnya warga Indonesia.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan memaklumkan mahkamah pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pada 21 Feb lepas, M.A. Ambika, 60, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2, di sini pada 4 petang, 10 Feb lepas.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Turut hadir pada prosiding hari ini adalah Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Iwanshah Wibisono yang memaklumkan pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kes dan akan sabar serta menghormati prosedur undang-undang di negara ini.

Iwanshah berkata waris mangsa telah menerima tunggakan gaji Adelina sebanyak RM 69,300. – BERNAMA

Loading...