Kes Liwat Anwar Bukan Isu Nasional – KJ

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia diharap menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah berhubung kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kes dihadapi Anwar merupakan kes individu yang tidak perlu dikaitkan dengan sistem kerajaan atau kehakiman negara ini.

Tegasnya, pertuduhan yang dihadapi Anwar langsung tiada kaitan kredibiliti kerajaan maka negara tidak perlu dibebani dengan isu peribadi ketua pembangkang tersebut.

“Apa sahaja keputusan mahkamah, saya harap sebagai rakyat Malaysia kita terima. Ini bukan masalah negara. Ini masalah seorang individu. Banyak lagi kerja kita untuk membangunkan negara.

“Yang dibicarakan pada minggu ini bukan negara kita, bukan kerajaan dan bukan sistem kehakiman kita. Yang dibicarakan adalah Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, Anwar memang sentiasa cuba memberi gambaran perbicaraan beliau kononnya satu isu nasional untuk mengheret rakyat dalam masalah peribadinya.

Menurutnya, bagi Anwar hanya keputusan yang memihak kepada beliau membuktikan mahkamah bebas dan adil.

Sebagai bukti, katanya, Anwar akan menganggap kes saman malu yang beliau menang di mahkamah sebagai kebebasan institusi kehakiman.

Tetapi apabila keputusan yang tidak memihak kepadanya, Anwar akan mendakwa ia sebagai satu usaha menjatuhkan karier politik beliau.

“Kes ini mula dibicarakan pada 7 Ogos 2008. Kes yang ditangguhkan sebanyak 67 kali. Kebanyakkannya atas permintaan peguam Anwar,” katanya. – mynewshub.cc

 

 

Loading...