SEREMBAN – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan meningkat sebanyak 935 kes kepada 1,506 kes dalam tempoh 1 Januari hingga 26 Julai tahun ini daripada 571 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

“Untuk tahun ini, pecahan kes mengikut daerah iaitu Seremban merekodkan 1,051 kes diikuti Jempol 121, Port Dickson 84, Rembau 82, Kuala Pilh 77, Jelebu 48 dan Tampin 43 kes.

Jumlah taska, tadika atau prasekolah yang masih ditutup adalah sebanyak lima buah iaitu empat di Seremban dan satu di Port Dickson,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu mengingatkan bahawa langkah-langkah pencegahan hendaklah diamalkan orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika, tabika atau prasekolah untuk mencegah penularan.

“Sentiasa pastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan kanak-kanak; buat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

“Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawan.

Pastikan lampin pakai buang dibuang dalam tong sampah bertutup, tidak membawa anak (yang ada gejala jangkitan) ke tempat awam antaranya sekolah, taska, tadika dan pusat asuhan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, satu aktiviti disinfeksi dilaksanakan di Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) Paroi pada 25 Julai lalu berikutan tularnya berita mengenai kes HFMD yang melibatkan orang awam yang mengunjungi Kombes, katanya. – BERNAMA