Kes Anggota TLDM Sebut Semula 12 Disember

MAHKAMAH Majistret Seri Manjung hari ini menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes membabitkan empat Laskar Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa menyebabkan kecederaan serta ugutan jenayah terhadap tahanan di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, September lalu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim untuk menunggu laporan kimia dan perubatan bagi semua 11 kes dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta dua kes ugutan jenayah.

Empat anggota TLDM yang didakwa sebelum ini pada 13 dan 17 Oktober lalu ialah Mohd Izhrifikri Roslee, 29, Hamzah Zakaria@Ali,35, Mohd Farid Musa, 32, dan Saifulnizam Razaly, 37.

Mohd Izhrifikri didakwa atas enam pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta dua tuduhan ugutan jenayah terhadap Laskar Kelas 1 Mohd Farhan Md Said dan Laskar Kelas 1 Mohd Syaiful Nizam Mardzuki.

Semua kes itu didakwa dilakukannya di lokasi berbeza di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, antara 12 hingga 29 September lalu.

Bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala bagi kes ugutan jenayah dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mohd Izhrifikri bagaimanapun tidak dibenarkan untuk diikat jamin sebelum ini kerana turut menghadapi dua pertuduhan membunuh Allahyarham Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, serta Allahyarham Laskar Kelas 1 Muhammad Lailaltuiman Mohd Sukri, 26.

Sementara itu, Hamzah pula didakwa atas tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Farhan, Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailaltuiman manakala Mohd Farid didakwa atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada Nik Muhammad Baihaqy.

Saifulnizam pula didakwa atas satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Farhan dan mereka melakukan kesalahan itu di lokasi berbeza di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 kanun Keseksaan dan hanya Saifulnizam tidak diwakili peguam.

Turut bersama dalam prosiding itu adalah peguam pemerhati dari keluarga Allahyarham Muhammad Lailaltuiman iaitu Zalil Mohd Mess. – Harian Metro