Kerja Naik Taraf Projek Rol Ikut Jadual

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penambahbaikan dan pengindahan kawasan Projek River of Life (ROL) (Fasa 2) Taman Tasik Titiwangsa berjalan mengikut jadual iaitu dengan mencapai kemajuan 17.56 peratus keadaan sebenar di tapak setakat 28 Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir Ahmad berkata, projek berkonsep reka dan bina seluas 34.65 hektar termasuk tasik itu yang bernilai RM99.9 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

“Terdapat beberapa elemen baharu yang dimasukkan seperti Lakeside Cafe (1 unit), pusat maklumat dan rumah bot (1 unit), bilik persalinan (1 unit), gazebo, tandas serta surau di samping laluan berbumbung.

“Apabila ia siap nanti, kawasan ini akan menjadi titik tumpuan utama antara KL River City dan pusat bandar Kuala Lumpur dan satu daripada taman awam paling utama di bahagian utara Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Menurutnya, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek berkenaan, kawasan tersebut telah ditutup secara keseluruhan sejak 1 Sept lepas bagi tujuan keselamatan pengunjung dan peniaga namun tidak melibatkan Restoran D’Saji Titiwangsa, Pusat Latihan Jabatan Penguatkuasaan DBKL dan Unit Rekreasi Berkuda Titiwangsa.

“Selepas kerja naik taraf ini, kita jangka jumlah pengunjung akan bertambah dua kali ganda terutama di hujung minggu berbanding 200-300 orang sebelum ini dengan anggaran bagi setiap bulan mencecah 18,000 pengunjung,” katanya.

Projek ROL atau Sungai Nadi Kehidupan yang dilancarkan pada 2011 adalah projek permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur atau Lembah Klang dan bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia yang bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Sungai Gombak dalam bandar.

Ini termasuk mengubahnya menjadi tebingan sungai atau waterfront yang berkembang maju selari dengan perkembangan ekonomi dan komersial melalui aktiviti pembersihan dan pengindahan sungai serta pembangunan tanah. – BERNAMA

Loading...