Kerajaan Timbang Cadangan Naikkan Had Laju Lebuh Raya

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mempertimbang cadangan untuk menaikkan had laju memandu di lebuh raya lebih daripada 110 kilometer sejam (km/j), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu memerlukan kajian terperinci serta melibatkan rundingan dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

“Dalam konteks had laju, bukan sahaja Jabatan Kerja Raya sahaja yang menetapkannya tetapi kita bekerjasama dengan JKJR dan Miros yang memberikan pandangan dari sudut keselamatan.

“Kita melihat ia lebih dari sudut keselamatan, kerana reka bentuk lebuh raya di negara kita had maksimumnya adalah 120 km/j sahaja, tetapi ada orang memandu sehingga 200 km/j dan di Malaysia kadar kemalangan jalan raya agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata, walaupun banyak faktor lain yang menyebabkan kemalangan jalan raya, namun berdasarkan statistik dan kajian JKJR dan Miros, kelajuan adalah antara penyebab utama kemalangan yang membawa maut.

Sementara itu, beliau berkata kementerian menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat penambahbaikan terhadap semua sistem transaksi pembayaran tol secara elektronik di plaza tol lebuh raya mereka.

Katanya, ia bagi mengelak sistem tersebut terjejas atau mengalami gangguan yang boleh menyebabkan kesesakan di laluan keluar dan masuk plaza tol.

“Antara tindakan yang perlu dilakukan ialah pengubahsuaian ke atas litar perlindungan elektrik sistem pembayaran itu agar hanya litar elektrik yang bermasalah sahaja yang diputuskan dan membolehkan peralatan tol di lorong-lorong lain terus berfungsi,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kementerian dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Perdana Menteri akan meneliti cadangan untuk mewujudkan tabung khas untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir. – BERNAMA

Loading...