Melaka Cadang Ternak Babi Berkelompok

ALOR GAJAH – Penternak khinzir di Paya Mengkuang di sini diusulkan agar melaksanakan penternakan secara berkelompok serta menggunakan teknologi moden bagi menangani isu pencemaran dari ladang ternak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata pihaknya akan berbincang dengan penternak terbabit bagi merealisasikan cadangan itu.

“Sekiranya penternak babi memberi persetujuan, kerajaan negeri bercadang untuk menggunakan teknologi dari Jerman atau China,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke ladang berkenaan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan isu pencemaran daripada penternakan khinzir di Paya Mengkuang yang berterusan tanpa penyelesaian berkesan, menimbulkan kemarahan penduduk setempat yang terpaksa menghidu bau busuk selain sungai serta kawasan tercemar.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata kerajaan negeri juga bersedia membantu membawa masuk pelabur bagi membantu penternak terbabit yang menghadapi kekangan modal memodenkan ladang mereka.

“Sekiranya penternakan khinzir ini dilaksanakan di bawah satu bumbung, isu pencemaran dapat dikurangkan selain memudahkan pemantauan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat 36 ladang ternakan babi di Paya Mengkuang melibatkan 27 penternak. – BERNAMA

Loading...