KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan agar berpendirian tegas dan konsisten dalam menangani isu rakyat Palestin yang dizalimi rejim Israel.

Beliau turut meminta kerajaan supaya mengajak semua lapisan rakyat Malaysia termasuk syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan, dermawan dalam dan luar negara serta kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Qatar, bagi menghulurkan bantuan.

“Kita mahukan langkah konkrit bukan sekadar kecaman semata-mata, malah termasuk memastikan 700 buah sekolah yang menempatkan pelarian Gaza dan Palestin akan terus berfungsi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, setakat ini masih tidak ada jawapan tuntas yang diperolehnya daripada Kementerian Luar mengenai isu tersebut.

Terdahulu, beliau membahaskan usul mengenai tindakan Malaysia mengenai isu pelanggaran hak kemanusiaan dan kekejaman terhadap Palestin oleh Israel di dalam kamar khas, di Bangunan Parlimen.

Usul itu dibentangkan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan didengari beberapa Anggota Parlimen termasuk Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik).

Perbahasan Nurul Izzah dijawab Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahaya.

Bercakap kepada Bernama di luar kamar, Marzuki berkata kerajaan menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Nurul Izzah dalam isu tersebut.

Katanya, kerajaan juga telah melakukan beberapa langkah termasuk menyalurkan bantuan peralatan perubatan kepada rakyat Palestin dan membawa isu tersebut ke perhatian masyarakat antarabangsa seperti di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). — BERNAMA

Loading...