Kerajaan Digesa Segera Wujud IPCMC

PETALING JAYA – Kerajaan digesa untuk segera menubuhkan suruhanjaya khas bagi menangani salah laku anggota polis.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S. Ambiga berkata dengan adanya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) itu akan dapat membantu mencegah beberapa insiden seperti kematian ketika dalam tahanan polis.

Beliau berkata ketua polis negara telah bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu.

“Tindakan segera perlu diambil sebelum beliau berubah fikiran,” katanya ketika ditemui hari ini sambil mendesak Kementerian Dalam Negeri dan peguam negara mengambil tindakan segera.

Terdahulu, beliau melancarkan laporan bertajuk ‘5 Faces : A Story of Police Custodial Deaths in Malaysia’, berhubung kematian lima individu ketika dalam tahanan polis.

Sementara itu, penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N. Surendran berharap kerajaan baharu dapat meneliti kes tersebut.

“Dengan (cadangan) suruhanjaya ini, kami harap keluarga tahanan terlibat akan diberi keadilan sewajarnya,” katanya.  – BERNAMA

Loading...