Kenaikan Tol Diputuskan Pada Minggu-Minggu Akan Datang

KUALA LUMPUR – Sebarang perkara berkaitan cadangan kenaikan tol akan diputuskan pada minggu-minggu akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu yang berlangsung pada mesyuarat Kabinet hari ini, tidak menghasilkan sebarang keputusan muktamad.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam ini.

“Apa-apa kebocoran daripada mesyuarat Kabinet hari ini (mengenai perkara itu) bukanlah (keputusan) muktamad,” katanya.

Beliau berkata amat mendukacitakan bahawa perkara itu digembar-gemburkan di dalam media sosial.

Dalam pada itu, Najib berkata mesyuarat malam ini turut mengambil maklum berkenaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang penekanan terhadap projek pembangunan luar bandar perlu diberi keutamaan.

Ini termasuk peranan BN untuk meninjau dan membuat penetapan bagi kawasan Parlimen untuk mendapat konsensus projek-projek yang perlu diberi perhatian.

Turut dibincangkan ialah mengenai post-mortem pilihan raya kecil Parlimen Rompin dan Permatang Pauh, yang mesyuarat bersetuju kerjasama BN di peringkat bahagian perlu ditingkatkan.

“Kita minta pemimpin di peringkat bahagian berusaha lebih jika ada masalah atau kalau tak ada masalah, kukuhkan hubungan supaya jentera dapat berjalan dengan lebih berkesan,” katanya. – BERNAMA

 

Loading...