Kembara Kerjaya Pahang 2.0 Tawar Lebih 5,000 Pekerjaan

KUANTAN – Kembara Kerjaya Pahang 2.0 menawarkan 5,189 jawatan kosong untuk pelbagai kelulusan pendidikan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata…

KUANTAN – Kembara Kerjaya Pahang 2.0 menawarkan 5,189 jawatan kosong untuk pelbagai kelulusan pendidikan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Pengarah Tenaga Kerja Pahang Pezman Che Hussin.

Beliau berkata karnival selama tiga hari bermula esok di Jerantut sebelum ke Kuala Lipis dan Bentong melibatkan 60 syarikat seperti perkhidmatan, perlombongan, kewangan, perkilangan dan perhotelan.

“Sebanyak 1,270 kekosongan jawatan ditawarkan kepada siswazah dan bakinya adalah untuk lulusan diploma dan sijil kemahiran termasuk SPM.

Kami juga membuka klinik kerjaya khusus kepada pencari kerja mendapatkan khidmat nasihat berkaitan resume, tip temu duga atau apa sahaja isu berkaitan kerjaya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Pusat JobsMalaysia Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang Zairiasdi Mohd Zainuddin.

Pezman berkata pihaknya juga membuka ‘Mobile Labour Care’ di semua lokasi kembara itu untuk pekerja yang mempunyai aduan berkaitan kerjaya mereka.

Beliau seterusnya berkata penganjuran kembara itu yang masuk kali kedua juga merupakan susulan kejayaan program Kembara Kerjaya Jelajah Felda yang diadakan pada tahun lepas.

“Penganjuran kembara kerjaya ini dilihat dapat membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Ia juga membolehkan perkhidmatan JobsMalaysia disampaikan kepada penduduk di kawasan luar bandar secara terancang,” katanya. – BERNAMA