Kekosongan DUN Lenggeng Dihantar Ke SPR Hari Ini

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan menghantar notis kepada Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) petang ini untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Lenggeng berikutan kematian penyandangnya, Datuk Ishak Ismail, akibat serangan jantung.

Speaker DUN Datuk Dr Awaluddin Said berkata beliau telah meminta  pihak urusetia Dewan menyediakan dokumentasi termasuk sijil kematian untuk dihantar  kepada SPR.

“Jika siap semuanya, kita akan hantar petang ini juga dan terpulang kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Khariah Paroi Jaya di sini, hari ini.

Ishak, 66, yang merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal, meninggal dunia pada 11.25 malam tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin  Norimah Ujang, dan empat orang anak.

Beliau  meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Genting, Pantai selepas solat Zuhur.

Semalam, beliau menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran ADUN Seri Menanti Datuk Abd Samad Ibrahim di Tanjong Ipoh sebelum dilaporkan pengsan dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, Awaluddin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menempuhi ujian.

“Beliau (Ishak) adalah antara ahli Dewan yang selalu mengambil bahagian di dalam dewan.

“Beliau begitu aktif menyuarakan permasalahan rakyat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Ishak menang dengan majoriti 2,058 undi menewaskan Zulkefly Mohamad Omar daripada PAS dan Zulkifli Abdullah, calon bebas. – BERNAMA