Kekalahan Kepada Pahang Tamparan Memeritkan – Mora

KUALA LUMPUR – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui kekalahan 3-1 kepada Pahang dalam aksi Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi merupakan satu tamparan hebat buat diri dan pasukannya.

Kata beliau, JDT adalah juara bertahan maka pasukannya akan berjuang berhabis-habisan untuk memenangi perlawanan timbal balas di laman sendiri nanti.

“Kami tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi dalam 95 minit pertama perlawanan suku akhir ini.

“Dalam perlawanan ini, beberapa peluang muncul untuk mendapatkan jaringan dan apabila pasukan tidak memanfaatkan peluang tersebut. Kami perlu mengkaji bagaimana gawang kami boleh bolos.

“Kami tidak akan pernah berputus asa, ini adalah satu tamparan yang menyakitkan namun saya yakin kami akan dapat mengubah keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, laman Facebook rasmi JDT dalam satu kenyataan menyelar laman sosial yang membuat sindirian sinis ke atas pasukan itu kerana tewas kepada Pahang yang nyaris tersingkir ke Liga Perdana musim lalu.

Laman Facebook menafikan sindiran sinis yang dilemparkan di media sosial kononnya pasukan JDT membuat bantahan keatas kemenangan Pahang kepada FMLLP kerana menurunkan pemain yang digantung.

“Pihak FMLLP menyiasat mengikut prosedur operasi standard (SOP) apa yang terjadi ketika hari perlawanan tersebut. Perkara ini pun tiada surat bantahan dari pihak JDT.

“Jangan katakan ada pihak yang berat sebelah kerana ini bukan zaman rejim 30 tahun yang lepas. Ini bukan zaman walaupun ada pasukan yang akan disingkirkan dari Liga Super tetapi berjaya diselamatkan. Ini adalah era baru. Jangan bimbang,” kata laman Facebook itu. – MYNEWSHUB.CC

Loading...