‘Kedah Pay’ Mudah Rakyat Buat Bayaran Tanpa Tunai

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah melancarkan aplikasi “Kedah Pay” dalam usaha menyediakan platform pembayaran tanpa tunai melaui teknologi imbasan sistem Quick Response (QR) Code yang dijangka boleh digunakan sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata cadangan kerjasama penggunaan teknologi kewangan (fintech) untuk Kerajaan Negeri melibatkan Virlinks Technology Sdn Bhd disokong oleh Finexus Cards Sdn Bhd.

“Aplikasi ini menyediakan kaedah pembayaran berpusat untuk rakyat dan kakitangan kerajaan negeri dalam membuat pembayaran, pemindahan wang, pembayaran bil setempat, pengeluaran wang dan pembayaran bil melalui telefon pintar sahaja.

“Hasrat kerajaan negeri adalah untuk memberi kemudahan kepada rakyat Kedah menjelaskan sebarang jenis pembayaran melalui aplikasi ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelancaran ‘Kedah Pay’ dan majlis penyerahan dokumen perjanjian kerjasama antara pihak Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan Virlinks Technology Sdn Bhd sempena Ekspo Muafakat kedah di Stadium Darul Aman.

Ahmad Bashah berkata penggunaan aplikasi akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), institusi pendidikan tinggi dan premis perniagaan.

“Buat permulaan, pelaksanaan dan perkhidmatan ini akan bermula secara dalaman agensi kerajaan negeri yang melibatkan aktiviti pembayaran gaji kakitangan awam, pembayaran cukai tanah dan pintu serta kutipan hasil yang lain.

“Saya harap dengan aplikasi ini ia dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri serta semua kakitangan kerajaan dan rakyat Kedah dan dapat memudahkan proses kutipan hasil kerajaan negeri disamping meningkatkan hasil kutipan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata apabila aplikasi ini dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun ini sebanyak RM500 juta bakal diperolehi setiap bulan manakala dalam tempoh setahun jumlah kutipan pembayaran daripada penggunaan aplikasi ini boleh mencecah antara RM5 bilion hingga RM6 bilion. – BERNAMA

Loading...