Kebakaran Feri: Polis Buka Kertas Siasatan Awal

LANGKAWI – Polis telah membuka kertas siasatan awal berhubung kebakaran feri di sini hari ini bagi mengenal pasti punca kejadian yang hampir meragut 58 nyawa dalam kejadian kira-kira 2.40 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada pihak bomba yang akan menjalankan forensik ke atas feri tersebut.

“Maklumat awal kejadian kami sudah terima, kalau ikut prosedur kami buka laporan kebakaran iaitu kertas inkuiri atau prasiasatan polis untuk kami ketahui apa punca kebakaran.

“Cuma laporan penuh kebakaran itu kami perlu tunggu daripada pihak bomba yang akan keluarkan secara rasmi bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur lain yang menyebabkan kebakaran itu termasuk jenayah dan khianat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di terminal feri penumpang, Kuah di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd. Iqbal berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penumpang feri tersebut yang memberitahu bahawa feri yang dinaikinya mengalami kebakaran.

Berdasarkan maklumat itu, pihak polis mengerahkan pasukan marin dengan dua bot untuk membantu penumpang feri itu yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis.

“Tempat kejadian itu adalah 500 meter dari jeti. Feri ini baru bergerak dari jeti pada 2.30 petang dan pada 2.40 petang terdapat kebakaran yang bermula dari bahagian enjin.

“Kesemua 58 penumpang berjaya diselamatkan iaitu 52 adalah penumpang, satu kapten, lima kru,” katanya.

Mohd. Iqbal berkata, semua mangsa dibawa ke jeti Kuah dan sejurus sampai di jeti, dua orang mengalami sesak nafas kerana terhidu asap berlebihan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, di sini untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, sebahagian besar penumpang telah menaiki feri yang disediakan oleh pejabat Anggota Parlimen Langkawi untuk pulang ke Kuala Perlis pada pukul 6 petang tadi. – BERNAMA