Kawalan Sempadan, Perairan Negara Perlu Diperhebat – Musa

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan kawalan sempadan darat dan perairan negara memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan keberkesanan dalam melindunginya daripada mudah dibolosi dan dicerobohi oleh anasir luar.

Beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini mendedahkan kelemahan penguatkuasaan kawasan sempadan dan perairan negara, yang dibimbangi boleh menjejas keyakinan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bagi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, usaha bersepadu melibatkan semua agensi penguatkuasaan perlu diperhebat di sempadan dan perairan negara bagi mengelakkan berulangnya kejadian sempadan dan perairan negara mudah dicerobohi.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana penyaluran dan perkongsian maklumat daripada pelbagai agensi penguatkuasaan pasti dapat mengatasi aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia perlu berganding bahu,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata anggota penguatkuasaan juga perlu dibekalkan dengan peralatan terkini bagi membantu mereka dalam menjalankan tugas mereka.

“Selain itu, penggunaan gajet moden perlu dipertingkatkan di sempadan mahupun perairan negara. Contohnya, kamera pengawasan perlu ditempatkan di kawasan strategik bagi mengetahui siapa yang masuk dan keluar,” katanya.

Musa berkata usaha meningkatkan standard operasi pemantauan dan perisikan secara besar-besaran diperlukan untuk mengelakkan kegagalan penguatkuasaan mengekang ancaman keselamatan negara.

Isu keberkesanan agensi penguatkuasaan dalam menjaga sempadan darat dan perairan negara dibangkitkan kebelakangan ini berikutan beberapa insiden yang mengejutkan.

Pada 25 Mei lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.

Dalam insiden itu, sebanyak 106 rangka mayat dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia telah ditemui, dan operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa ditamatkan 8 Jun lepas.

Pada Mei juga berlaku episod penculikan di Sabah, kali ini di Sandakan, melibatkan seorang pengurus wanita sebuah restoran makanan laut dan seorang lelaki.

Selepas itu, pada 11 Jun, kapal MT Orkim Harmony, milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dirampas lapan perompak ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, kesemua 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar berjaya diselamatkan kira-kira 2.30 pagi, Jumaat lepas.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berpendapat kelemahan sistem pengawasan dan rondaan pihak berkuasa di perairan dan sempadan negara, merupakan antara punca utama ia mudah dibolosi anasir luar.

“Semua pihak perlu berganding bahu dalam isu berkenaan sebelum menjadi ‘kronik’. Kita mengaku, perairan negara kita bukan kecil, namun dengan penambahan anggota keselamatan, kejadian pencerobohan dan masalah lain boleh diatasi.

“Kapal yang digunakan pihak berkuasa perlu dilengkapi dengan peralatan moden seperti alat komunikasi yang canggih supaya mereka sentiasa dapat berinteraksi jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

Loading...