Kaunter LHDN Seluruh Negara Dibuka Minggu Ini

KUALA LUMPUR – Kaunter perkhidmatan e-Filing dan bayaran cukai di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara akan beroperasi pada hujung minggu ini.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor yang hujung minggu jatuh pada Jumaat dan Sabtu, kaunter dibuka pada 27 dan 28 April manakala bagi negeri yang hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka pada 28 dan 29 April.

Kaunter-kaunter berkenaan akan beroperasi mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, waktu operasi akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 4 petang, katanya.

Menurut kenyataan itu, kaunter berkenaan dibuka pada hujung minggu bagi membantu pembayar cukai yang tidak mempunyai kemudahan internet untuk menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) menggunakan e-Filing.

Sehubungan itu, LHDN meminta pembayar cukai menggunakan kemudahan yang telah disediakan dan memastikan BNCP mereka dikemukakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pembayar cukai individu yang tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan diberi tambahan masa sehingga 15 Mei depan untuk mengemukakan borang BE atau M (tahun taksiran 2017) mereka secara e-Filing.

Manakala pembayar cukai yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan pula diberikan tambahan masa sehingga 15 Julai untuk mengemukakan Borang B atau M (tahun taksiran 2017) mereka secara e-Filing.

“Tambahan, masa ini tidak terpakai untuk pengemukaan BNCP secara manual (borang kertas) di mana tarikh akhirnya kekal pada 30 April bagi individu yang tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan atau 30 Jun bagi individu yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan.

“Oleh yang demikian, LHDN menyeru pembayar cukai agar menggunakan kemudahan yang telah disediakan dan memastikan BNCP mereka dikemukakan dalam tempoh yang telah ditetapkan untuk mengelakkan penalti dikenakan,” katanya.

Sebagai rekod, sehingga jam 9 pagi hari ini, sebanyak 1.7499 juta BNCP telah diterima daripada pembayar cukai individu melalui kaedah e-Filing. Angka itu menunjukkan peningkatan sekitar 5.52 peratus berbanding penerimaan BNCP melalui kaedah e-Filing daripada pembayar cukai individu bagi tempoh yang sama pada tahun lepas (1.6583 juta).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pusat panggilan LHDN di talian 1-800-88-5436. – BERNAMA