Kanak-Kanak Jatuh Sungai Dikuatiri Lemas

TAWAU – Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Taman Rainbow, Jalan Kuhara di sini petang semalam.

Ketika kejadian, Md. Famirul Aiman Rahman, 3, dipercayai terjatuh ke dalam sungai yang terletak di belakang rumahnya di kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Mohd. Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.38 petang.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan, lima anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan sampai di lokasi berkenaan pada 5.54 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sehingga kini usaha mencari masih dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dengan bantuan polis serta orang awam di kawasan itu. – BERNAMA