Kanak-kanak Cedera Ibu Jari Kaki Tersepit Eskalator

28

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun cedera pada ibu jari kaki kanan selepas ia tersepit pada tangga eskalator di tingkat dua sebuah pasar raya di Lebuhraya Darul Aman, di sini, hari ini.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Kejadian berlaku kira-kira 2.50 petang tadi menyebabkan kaki kanan kanak-kanak lelaki itu tersangkut hampir 20 minit sebelum berjaya dikeluarkan pihak bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.54 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkiflee Mat Esa, tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk membantu khidmat khas kaki tersepit kanak-kanak terbabit.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira enam minit untuk mengeluarkan kaki kanan kanak-kanak itu dengan menggunakan peralatan khas.


“Kerja menyelamat dilakukan anggota balai dan pihak penyelenggara pasar raya terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta oleh pihak pengurusan pasar raya terbabit.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 3.22 petang,” katanya.

BHonline-