Kanada-Arab Saudi Terbabit Rundingan Diplomatik

NANAIMO – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, kerajaannya kini berunding secara diplomatik dengan Arab Saudi, namun tidak berganjak berhubung pendiriannya terhadap isu hak asasi manusia, dua minggu selepas Ottawa menggesa pembebasan aktivisnya.

“Kami terus berhubung secara diplomatik dengan Arab Saudi, saya fikir adalah penting memiliki hubungan positif dengan negara di seluruh dunia,” kata Trudeau kepada media selepas mesyuarat Kabinet di British Columbia.

Trudeau menjawab soalan berhubung laporan, pendakwa raya Arab Saudi memohon hukuman mati terhadap aktivis hak asasinya.

“Pada masa sama, kami melahirkan kebimbangan terhadap hukuman dijatuhkan Arab Saudi, kebimbangan kami untuk mempertahankan hak asasi manusia dan nilai dikongsi bersama di seluruh dunia,” tambahnya.

Arab Saudi, berang dengan tweet dihantar Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland dan diterjemah ke bahasa Arab oleh Kedutaan Kanada di Riyadh awal bulan ini membekukan perdagangan baharu dengan negara berkenaan, menyekat import bijirin, mengusir duta dan mengarahkan semua pelajarnya pulang.

Dalam satu penangguhan, lima universiti Kanada berkata kelmarin, pelatih doktor Arab Saudi yang mendaftar program mereka diberi tambahan tiga minggu di negara itu, ketika hampir 1,000 pelajar tergesa-gesa untuk pulang. – Reuters/BH ONLINE