Kamus Oxford Edisi Malaysia Ada Twitterati, Twitable, Twitheart

KUALA LUMPUR – Pengguna media sosial tahu apa itu Twitter tetapi berapa ramaikah yang sedar bahawa terdapat pelbagai istilah lain yang berkait dengan Twitter selain daripada ‘tweet’ dan ‘retweet’?

Ada tak sesiapa yang pernah mendengar perkataan seperti ‘twitterati‘, ‘tweetable’, ‘tweetheart’,’twitterverse?’ Bagaimana pula istilah terkini yang lain seperti ‘catfish’, ‘wishy-washy’, ‘troll’, ‘spyware’ dan ‘bioenergy’?

Kalau pun mungkin perkataan-perkataan ini adalah sebahagian daripada ungkapan Generasi Y (Gen Y), orang lain mungkin belum pernah mendengarnya, tambahan perkataan itu belum didokumen secara rasmi.

Penerbit kamus bahasa Inggeris terkemuka dunia, Oxford University Press (OUP) peka dengan impak zaman digital terhadap bahasa Inggeris menerusi penghasilan serta penggunaan perkataan baharu selain perkataan sedia ada.

Oleh yang demikian, edisi kesembilan kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary (OALD) iaitu yang terkini menambah 900 istilah baharu dalam edisi bercetak dan dalam talian. OALD mula dilancarkan di Malaysia pada Mac 2015.

Kamus ini menawarkan rujukan kepada empat bidang penting yang diperlukan dalam pembelajaran dan pengajaran iaitu percakapan, penulisan, memperkaya perbendaharaan kata dan sumber guru.

MENGHUBUNGKAN GURU DENGAN PELAJAR

Profesor Madya Dr. Cynthia Yolanda Ross daripada Akademi Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), memuji usaha OUP kerana mengikuti perkembangan semasa dalam soal perbendaharan kata baru.

“Guru yang menggunakan perkataan baru mudah berhubung dengan pelajar mereka,” katanya dengan menambah langkah itu juga akan menunjukkan para guru juga mengikuti perkembangan terkini dalam penggunaan bahasa mereka.

Dr. Cynthia berkongsi pengalaman mengajar bahasa lebih 30 tahun di mana perbendaharaan kata adalah faktor utama yang perlu ditangani mana-mana guru.

Mengajar bahasa melibatkan ‘input‘ dan ‘output‘. Kedua-duanya sama penting. Proses ‘input‘ pada pelajar melibatkan pembacaan dan pendengaran. Kejayaan usaha ini boleh dilihat daripada ‘output‘ pelajar menerusi kemampuan mereka bertutur dan menulis.

Penggunaan kamus dalam kelas menjadikan proses pembelajaran lebih menarik. Aplikasi iSpeak dan iWrite yang ditawarkan OALD amat sesuai untuk generasi yang biasa dengan kecanggihan teknologi seperti telefon pintar dan ‘tablet’ yang merupakan sebahagian daripada gaya hidup mereka.

“Perbezaan antara penutur asli dan mereka yang belajar bahasa sebagai bahasa kedua adalah banyaknya perbendaharaan kata pada penutur asli. Dalam era globalisasi sekarang, mereka yang kaya perbendaharaan kata boleh menyampaikan mesej mereka dengan tepat dan cepat,” tambah Dr. Cynthia.

KEBERKESANAN MEMILIH PERKATAAN

Sam Hagag, Pengurus Negara Manpower Group, syarikat perekrutan global, yang turut hadir sewaktu pelancaran OALD sebagai ahli panel forum berkongsi pandangannya tentang keperluan bagi perbendaharaan kata yang kaya dan sentiasa dikemas kini.

“Memang penting untuk orang tua membiasakan diri dengan bahasa orang muda. Saban hari ada sahaja perkatan baru. Kita perlu mengikuti perkembangan masa,” kata beliau apabila ditanya tentang kemunculan perkataan serta istilah baru berkait dengan media sosial dan implikasinya kepada masyarakat.

Menyentuh tentang kepentingan bahasa Inggeris dalam organisasi perniagaan, Sam menekankan bahawa menyampaikan maksud dalam masa yang sesingkat mungkin adalah kemahiran penting yang perlu dimiliki.

Rutin harian yang semakin pantas menyebabkan sesi penyampaian cadangan perniagaan syarikat menjadi begitu singkat berbanding penyampaian sebelumnya yang menggunakan banyak slaid.

Tambah Sam, persekitaran perniagaan hari ini melibatkan komunikasi antara lebih banyak pihak berbanding sebelumnya dalam bentuk pelbagai bangsa, kaum dan yang lain. Dalam semua keadaan itu, satu bahasa yang menghubungkan mereka adalah bahasa Inggeris.

PERBENDAHARAAN KATA PENTING

Alison Waters, Pengurus Penerbitan untuk English Language Teaching Dictionaries and Reference Grammar di OUP, menyatakan pasukannya menjalankan penyelidikan global melibatkan 14,000 orang guru untuk memahami keperluan pengguna.

“Hasil penyelidikan menunjukkan 28 peratus guru dan 23 peratus pelajar menganggap pertuturan sebagai kemahiran paling mencabar apabila belajar untuk menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Untuk itu, versi OALD ini mempunyai aplikasi baru dipanggil ‘iSpeaker’. Aplikasi ini boleh diperoleh dalam talian dan dalam bentuk DVD-ROM yang datang bersama kamus.

Menurut Alison, mereka yang belajar kini boleh mendengar, merakam sebutan mereka dan membandingkan dengan sebutan yang betul supaya mereka boleh menilai tahap pencapaian masing-masing.

Kamus itu juga membantu pelajar mengenali 3,000 perkataan penting dalam memahami bahasa Inggeris dengan menggunakan tanda kunci ‘Oxford 3000’.

Pelajar juga boleh mengecam perkataan yang ditanda dengan simbol ‘utama’ dalam kamus rujukan A hingga Z. Mengajar bahasa kini menjadi lebih mudah menggunakan pelan pelajaran, video dan nota yang disediakan dalam kamus.

Malahan ibu bapa juga mungkin boleh menggunakan pelan ini untuk sesi pelajaran seterusnya di rumah.  – BERNAMA/A.AMREE