Kajian Semula Persempadanan Ikut Undang-Undang – SPR

KUALA LUMPUR – Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat berdasarkan ketetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, urusan kajian semula itu juga selaras dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang meluluskan pindaan ke atas Perlembagaan Sarawak.

“SPR mempamerkan syor kajian semula itu selama sebulan bermula 5 Januari hingga 4 Februari 2015 ditempat yang dinyatakan dalam Notis Persempadanan Semula untuk tujuan semakan dan bantahan.

“Dalam tempoh itu, SPR membuka peluang kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan sekumpulan orang seramai 100 orang untuk mengemukakan bantahan secara bertulis.

“Sesi siasatan tempatan akan dijalankan dan sekiranya ada perubahan maka pameran kali kedua akan dibuat untuk pemeriksaan dan bantahan sebelum laporan akhir disediakan,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Ghani turut menjelaskan, rang pelan yang dipaparkan dalam pameran itu adalah syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya, bukan pelan atau peta yang akan digunakan semasa pilihan raya.

Tambah beliau, walaupun rang pelan atau syor awal itu hanya perlu disiarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar tetapi SPR menyiarkan dalam dua akhbar tempatan.

Katanya, SPR turut memuat turun rang pelan itu dalam laman web rasmi SPR supaya dapat diakses semua pihak secara dalam talian.

“Secara kesimpulanya, dalam menjalankan proses ini, SPR telah mematuhi peruntukan dan proses yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis yang lain,” katanya.

SPR sebelum ini mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi negeri Sarawak ditambah sebanyak 11 bahagian daripada 71 bahagian.

Syor tersebut menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak sebanyak 82 bahagian namun dikritik pihak pembangkang.

Loading...