Kaji Spesifikasi Penghadang Kenderaan Di Jambatan

BUTTERWORTH – Syarikat-syarikat konsesi diminta untuk mengkaji mekanisme bersesuaian untuk pemasangan penghadang kenderaan di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi mengelakkan kejadian kenderaan terhumban ke dalam laut ketika kemalangan berulang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penghadang sedia ada berkemungkinan tidak cukup tinggi mengikut piawaian yang ditetapkan untuk menghalang kenderaan daripada jatuh ke dalam laut.

“Bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, maka amat perlu pihak berwajib mengkaji dengan lebih mendalam mengenai spesifikasi dan piawaian penghadang kenderaan supaya risiko yang dihadapi pengguna jambatan dapat dikurangkan.

“Mungkin ia (penghadang) sesuai untuk menghalang kemalangan yang biasa tetapi kemalangan pada awal pagi Sabtu itu adalah yang berimpak tinggi…mungkin terbukti tidak mencukupi untuk menghalang kenderaan dari jatuh ke dalam laut, jadi perlu kajilah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program advokasi khas keselamatan jalan raya Sempena Tahun Baharu Cina, Drive Safe With Us, peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Jermal, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai insiden sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, di sini pada pukul 2.54 pagi semalam. – BERNAMA