Jurulatih Pecut Negara Dimasukkan Ke HSA

JOHOR BAHRU – Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata Mohd Poad, 48, kini diberikan rawatan intensif dan ditidurkan mulai pagi tadi bagi memudahkan rawatan di paru-paru serta dada beliau.

“Menurut kata doktor, beliau (Mohd Poad) kritikal tetapi stabil. Sebelum ini, beliau masih boleh bernafas dengan sendiri tetapi disebabkan oksigen yang rendah dalam darah, beliau terpaksa dibantu untuk tingkatkan oksigen dan sedang menunggu untuk dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Doktor sedang memberi rawatan antibiotik bagi mematikan kuman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Mohd Poad di HSA hari ini.

Ahmad Shapawi berkata pihak HSA sedang memberikan rawatan terbaik terhadap Mohd Poad yang dimasukkan ke hospital itu dua hari lepas.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pelari dan rakyat Malaysia mendoakan supaya kesihatan Mohd Poad kembali pulih.

Menurut Ahmad Shapawi, selain membimbing pemenang pingat emas 100 meter Sukan SEA Khairul Hafiz Jantan, Mohd Poad turut bertanggungjawab melatih beberapa pelapis sukan olahraga itu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar di Kota Tinggi dan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – BERNAMA

Loading...