Jurulatih Maghribi Akui Sukar ‘Kunci’ Ronaldo

MOSCOW – Jurulatih Maghribi, Herve Renard akui kesukaran yang perlu dihadapi pasukan itu bagi halang pemain Portugal, Cristiano Ronaldo apabila dua pasukan itu bertemu pada malam ini.

Ronaldo menjaringkan hatrik ke-51 dalam kariernya pada pertemuan Portugal dan Sepanyol yang berkesudahan 3-3 dalam perlawanan pembukaan kumpulan itu di Piala Dunia.

Maghribi, yang tewas 0-1 kepada Iran selepas gol sendiri pada minit ke-95, bakal tersingkir awal pada penampilan pertama mereka sejak 1998 melainkan jika mereka berjaya mengelakkan kekalahan bertemu dengan juara Eropah itu.

“Biarpun jika anda mahu membuat perancangan bagi Ronaldo, dia akan selalu mencari jalan keluar atau melakukan perubahan atau meletakkan kembali pasukan di landasan yang betul,” kata Renard.

“Dia sudah tentu seorang yang luar biasa. Barang kali perkataan itu tidak cukup kuat tetapi anda tahu anda perlu melakukan segalanya untuk menghalangnya.”

Pemain Argentina, Lionel Messi berjaya dikawal oleh Iceland bagi mengecewakan bintang Barcelona itu untuk seri 1-1 tetapi Renard berkata Maghribi tidak mampu untuk memberi tumpuan hanya kepada kapten Portugal itu.

“Jika kami meletakkan tiga pemain mengawal Ronaldo, saya tidak tahu bagaimana anda mahu mengawal pemain lain,” katanya.

“Mereka mempunyai ramai pemain yang menyerang. Jangan lupa mereka adalah juara Eropah dan jika saya ingat dengan tepat, ketika final menentang Perancis dia mengalami kecederaan dan rakan pasukannya yang membuat perubahan.” – AFP

Loading...