Jurang Digital Di Sarawak Masih Perlu Diperbaiki – Adenan

KUCHING – Jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini masih perlu diperbaiki, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak berterima kasih kepada kerajaan Pusat yang komited membantu mengurangkan jurang tersebut.

Adenan berkata beliau juga telah dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bahawa semua menara telekomunikasi di negeri ini, akan berfungsi menjelang akhir bulan ini.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ketika ini 85 peratus daripada kesemua menara itu sudah berfungsi.

“Sarawak ini besar…sama besar dengan Semenanjung, dan ada 5,000 kampung serta rumah panjang berselerak serta berada jauh. Yang penting ketika ini ialah hubungan komunikasi dalam negeri (Sarawak).

“Hampir semua informasi kini berada dalam tangan kita sahaja…semua boleh. Kalau tidak ikut kita akan ketinggalan, kini revolusi maklumat,” katanya pada majlis perasmian Malaysia Inklusif Negara Digital (Minda) di Tebingan Sungai Kuching hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Adenan berkata dalam tempoh enam tahun menjadi Perdana Menteri, Najib sudah datang ke Bumi Kenyalang sebanyak 46 kali, iaitu melebihi jumlah keseluruhan kedatangan lima Perdana Menteri sebelumnya.

“Hari ini kali ke-47 Perdana Menteri datang ke Sarawak. Beliau datang kerana sayang kita (Sarawak), tidak pernah ada Perdana Menteri macam ini. Setiap kali dia (Najib) datang, tidak dengan tangan kosong sebaliknya bawa bersama berjuta malahan berbilion dia berikan untuk Sarawak,” katanya.

Adenan berkata Lebuh Raya Pan Borneo yang diluluskan oleh Najib juga akan menjadikan Sarawak mempunyai kemudahan setaraf negeri-negeri di Semenanjung, yang memiliki Lebuh Raya Utara Selatan.

“Walaupun ekonomi Malaysia merosot kerana harga minyak turun daripada USD120 setong kepada USD30 setong….walaupun kerajaan Persekutuan kurang duit, mereka masih rela belanja RM16 bilion untuk Sarawak,” katanya.

Adenan juga menafikan kekerapan Perdana Menteri datang ke Sarawak adalah disebabkan Pilihan Raya Negeri yang semakin hampir.

“Perdana Menteri datang bukan kerana pilihan raya sahaja. Sejak lima tahun lepas, dia (Najib) memang kerap datang ke Sarawak. Kami sayangkan Perdana Menteri kerana beliau sayangkan kami,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply