JSR Berkesan Tangani Isi Kos Sara Hidup

MELAKA – Pengunjung program Jualan Sentuhan Rakyat (JSR) di Sungai Udang di sini berpendapat program itu amat berkesan dalam menangani kos sara hidup yang ditanggung mereka dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan malah diadakan dengan lebih kerap.

Ummi Sajjdah Ahmad Bustamam, 40, seorang penjawat awam dari Sungai Udang di sini berkata dalam situasi ekonomi mencabar masa kini, program jualan murah itu bukan sahaja menggamit kunjungan kumpulan isi rumah B40 bahkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program yang menawarkan barang keperluan dengan harga lebih rendah daripada pasaran ini tentunya memberi impak besar kepada kehidupan rakyat, oleh itu saya berharap agar program ini dapat diadakan secara berkala sama ada bulanan ataupun mingguan.

“Justeru, secara tidak langsung dapat mendidik rakyat agar berbelanja secara berhemah dalam membeli barangan keperluan dapur di samping mendapatkan barangan segar yang lebih murah namun dalam masa sama berkualiti,” katanya kepada Bernama pada program itu, semalam.

Ummi Sajjdah berkata meskipun berkhidmat sebagai jentera pelaksana dasar dan penyampai perkhidmatan kerajaan kepada rakyat namun dia mengakui turut terkesan akibat kenaikan harga barang yang sering terjadi dengan alasan kekurangan bekalan disebabkan faktor cuaca seperti hujan dan musim tengkujuh.

“Saya berharap agar program jualan murah ini dapat diperluaskan lagi dengan tempoh masa yang lebih lama selain diadakan pada hujung minggu ataupun cuti umum bagi memberi peluang sama rata kepada semua golongan,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Program JSR merupakan inisiatif kerajaan bermula Januari lepas dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dengan menawarkan barang keperluan termasuk bawang, tepung gandum, gula, ikan, ayam, beras, telur dan minyak masak pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Seorang suri rumah, Samihah Ahmad, 51, dari Ayer Keroh berkata program berkenaan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya golongan yang berpendapatan rendah mendepani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, saya akui agak terkesan dengan kenaikan harga barang lebih-lebih lagi macam saya yang hanya bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.

“Oleh itu, saya perlu bijak merebut peluang ini untuk membeli barang keperluan berikutan terdapat perbezaan harga yang ditawarkan meskipun sedikit jauh dari rumah. Bagaimanapun, saya harap agar masanya dapat dilanjutkan bagi mengelakkan orang ramai pulang hampa apabila barangan yang ingin dibeli habis terjual,” katanya.

S. Kogilavani, 49, dari Taman Bukit Terendak berkata beliau bersyukur memandangkan jualan murah itu diadakan pada hari cuti dan tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan dengan harga yang rendah.

“Saya tak mahu melepaskan peluang untuk membeli di sini sebab terletak berhampiran rumah dan lebih-lebih lagi dibuat pada hari cuti umum.

“Oleh itu,saya berharap agar program jualan ini dapat diadakan dengan lebih kerap selain memperkenalkan satu mekanisma harga yang berpatutan terutama kepada pasar raya dalam usaha mengurangkan beban harian rakyat,” katanya yang bertugas sebagai ketua jururawat hospital.

Seorang lagi pengunjung, Karim Dollah, 67, seorang pesara tentera berkata beliau amat menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan atas pelbagai langkah yang diambil dalam membantu mengurangkan beban masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Rasa teruja dan terharu lebih-lebih lagi apabila Ketua Menteri (Datuk Seri Idris Haron) tambah lagi penjimatan harga yang mana seekor ayam boleh diperoleh dengan hanya serendah RM5…begitu juga dengan beras 10 kilogram hanya RM10…memang takkan dapatlah di tempat lain,” katanya yang tinggal di taman berhampiran. – BERNAMA​​

Loading...