JPM Sedia Temui Sultan Johor Isu RTS Halang Panorama JB

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersedia memberi penjelasan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berikutan luahan rasa tidak bersetuju baginda dengan reka bentuk trek sistem transit laju (RTS) yang dikatakan menjejaskan pemandangan Johor Bahru di sepanjang Selat Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, projek RTS Johor Bahru-Singapura dan laluannya terhasil berdasarkan siri perbincangan serta kajian menyeluruh yang telah dilaksanakan.

Menurutnya, kajian meliputi aspek teknikal, jajaran dan keupayaan daya maju projek tersebut yang telah dipersetujui bersama dengan kerajaan Singapura.

“Kami mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan oleh Duli Yang Mahu Mulia Sultan Johor dan akan memohon untuk menghadap baginda sejurus selepas pihak istana memberikan tarikh persetujuan (bagi mengadakan perjumpaan),” katanya dalam kenyataan semalam.

Baca: Sultan Johor ‘Tegur’ Laluan RTS Tutup Panorama JB

Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk jambatan bagi projek RTS yang menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.

Baginda menyambut baik projek RTS, namun tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatan yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengah yang akan menjejaskan pemandangan Johor Bahru sepanjang Selat Johor.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Malaysia dan Singapura bakal memiliki saling hubung dan kebolehcapaian yang baik apabila siapnya projek RTS seperti mana telah dicadangkan pada 2014.

Ujar beliau, selain menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, projek berkenaan berupaya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta menjimatkan masa perjalanan melalui sambungan stesen-stesen bersama dengan pusat pemeriksaan kastam dan imigresen bersepadu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...