JPJ Kedah Lelong 43 Kenderaan Hari Ini

ALOR SETAR – Sebuah motosikal dilelong serendah RM60 merupakan antara 43 kenderaan dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang mengumpulkan RM16,760 pada siri lelongan pertama untuk tahun ini.

Pengarahnya, Amir Onn Mustapha berkata, lelongan hari ini membabitkan 29 buah motosikal, enam buah kereta, empat buah lori kecil, tiga buah van dan sebuah bas pekerja.

“Seramai 53 pembida telah menyertai sesi lelongan kali ini di mana bidaan tertinggi yang kita terima kali ini bernilai RM4,000 bagi empat buah lori kecil manakala lelongan terendah adalah sebuah motosikal bernilai RM60,” katanya selepas program lelongan awam hari ini.

Menurutnya, 27 buah kenderaan yang dilelong boleh dilesenkan semula manakala 16 buah lagi adalah skrap iaitu tidak boleh dilesenkan kembali.

Amir Onn berkata, lelongan itu dibuat hasil beberapa rampasan yang dijalankan oleh JPJ Alor Setar, JPJ Kulim dan Stesen Penguatkuasa Kuala Ketil berikutan kenderaan terbabit terlibat dengan beberapa jenis kesalahan. – BERNAMA