Johor Garis 5 Strategi Memoden & Transform PBT

JOHOR BAHARU – Kerajaan negeri menggaris lima strategi bagi memodenkan sistem perkhidmatan dan penyampaian pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus bagi menjadikan perkhidmatan kerajaan negeri kepada masyarakat berjalan lebih cekap dan lancar.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan adalah perkara yang amat kritikal.

Beliau berkata ia menjadi semakin mendesak kerana keperluan dan corak kehidupan rakyat sendiri telah banyak berubah.

“Sistem penyampaian kita mesti bukan sahaja pantas, tetapi canggih kerana Malaysia yang berubah juga sudah menjadi sangat kompleks dan canggih.

“Maka kerana itu, sistem perkhidmatan PBT juga harus berubah seiring dengan perubahan dan fungsi kerajaan dalam era yang sangat kompleks ini,” katanya ketika melancarkan Hari Terbuka Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan ‘PBT di Hati Rakyat’ di Pusat Konvensyen Persada Johor di sini malam tadi.

Mohamed Khaled berkata strategi pertama adalah menjadikan pembangunan modal insan dalam setiap perancangan, pembangunan dan pengurusan sumber manusia PBT.

Beliau berkata PBT juga perlu memfokus kepada peningkatan inovasi dan kreativiti.

“Saya akui bukan mudah untuk merubah, mencipta dan memperkenalkan citra baharu dan bukan mudah untuk mengajak semua pihak membuka ruang seluas-luasnya agar idea yang segar dan bernas dapat tumbuh, bercambah dan memberikan kebaikan,” kata beliau.

Strategi ketiga ialah PBT di negeri ini perlu mempunyai strategi pengukuhan kewangan sendiri, ” katanya.

“Telah tiba waktunya badan berkuasa tempatan, mula memikirkan strategi untuk meningkatkan kemapanan pengurusan kewangannya sendiri. Setiap PBT lebih mengetahui akan potensi dan keperluan kawasan mereka.

“Mereka seharusnya tahu, ruang yang bagaimana yang boleh meningkatkan hasil mereka,” kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata strategi keempat ialah melibatkan PBT untuk mewujudkan persekitaran yang lestari dalam masyarakat.

“Ia merujuk kepada strategi mengoptimumkan penggunaan persekitaran secara lestari dan strategik,” kata beliau.

Sebagai strategi kelima, PBT Johor perlu mempunyai sistem komunikasi yang menyeluruh dan berkesan, katanya.

“Bagi menterjemahkan perkara ini, kita harus menyampaikan segala hasrat, perancangan dan perlaksanaan kepada rakyat dengan cara yang mudah dan berkesan,” kata beliau.

Mohamed Khaled berkata budaya lama, sistem yang perlahan dan birokrasi yang luar biasa perlu dihapuskan. – BERNAMA

Loading...