JKMR SPRM Bantah Debat Terbuka Skandal Tanah Taman Manggis

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menasihati supaya debat awam berhubung skandal tanah Taman Manggis membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dibatalkan.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, JKMR selaku badan yang memantau operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpandangan debat itu tidak wajar diadakan kerana siasatan sedang dilakukan SPRM.

“Mengambil kira perkembangan semasa, selaku Pengerusi JKMR saya berharap semoga kesemua pihak yang terbabit agar mempertimbangkan semula idea perdebatan tersebut.

“Saya menyarankan rancangan tersebut elok dielakkan. JKMR berpandangan bahawa memandangkan SPRM sedang menjalankan siasatan, sangatlah wajar supaya penganjuran perdebatan tersebut dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada 7 April lalu mengalu-alukan debat awam mengenai skandal tanah Taman Manggis membabitkuan Guan Eng yang juga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan.

Abdul Rahman dipetik berkata, debat itu akan membolehkan rakyat Pulau Pinang mengetahui fakta dan kebenaran mengenai skandal Taman Manggis.

Beberapa pihak sebelum ini membuat laporan polis berhubung penjualan tanah Taman Manggis Fasa 2, di Jalan Burmah di sini yang didakwa kemungkinan berlaku penipuan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tanah Taman Manggis yang pada awalnya digazetkan untuk pembangunan rumah kos rendah telah dijual dengan harga murah kepada syarikat yang mempunyai hubung kait dengan Guan Eng.

Abu Zahar berkata, JKMR bimbang sekiranya debat tersebut diteruskan akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM berhubung skandal melibatkan Setiausaha Agung DAP tersebut.

“Kita perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya. Semua pihak yang terlibat, saya sarankan supaya memberi kerjasama yang sewajarnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Jika mana-mana pihak mempunyai fakta, dokumen-dokumen atau sebarang bukti dan saksi berkaitan isu tanah Taman Manggis ataupun banglo yang dibeli oleh Guan Eng, wajar mengemukakan kepada SPRM daripada mengadakan debat secara terbuka,” katanya. – mynewshub.cc

Loading...