JKKP Rekod 711 Pekerja Maut Di Tempat Kerja

SEREMBAN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan sejumlah 711 individu maut di tempat kerja tahun lepas dan daripada jumlah itu, 187 individu menemui ajal di tapak pembinaan, kata Ketua Pengarah JKKP, Ir. Omar Mat Piah.

“Kadar kematian di tapak pembinaan sangat membimbangkan berbanding kematian di lain-lain lokasi tempat kerja. Sejumlah 6,125 kemalangan direkodkan berlaku di tapak pembinaan tahun lalu yang mana ia memerlukan lebih pemerhatian dan pematuhan langkah keselamatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Cegah Jatuh JKKP di Projek Cadangan Pembangunan Pangsapuri PR1MA, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan J. Arul Kumar.

Sementara itu, Omar berkata sehingga Jun tahun ini, JKKP menjalankan sebanyak 4,838 pemeriksaan ke atas tapak pembinaan di seluruh negara.

“Daripada jumlah pemeriksaan itu, sejumlah 4,132 notis telah dikeluarkan dan 253 kesalahan dikeluarkan kompaun kepada majikan,” katanya, sambil menambah, sebanyak 31 kes telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Kami menyeru pihak industri supaya mengamalkan langkah keselamatan yang baik di tempat kerja bagi memastikan kemalangan di tempat kerja dapat dielakkan,” katanya. – BERNAMA

Loading...