JHL Rampas Haiwan Dilindungi Di Paitan

SANDAKAN – Jabatan Hidupan Liar merampas haiwan yang dilindungi daripada dua lelaki selepas menahan sebuah kereta pacuan empat roda dalam sekatan jalan raya di Jalan Paitan Beluran, semalam.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata rampasan membabitkan seekor pelanduk, dua ekor musang dan seekor ular sawa dan bahagian badan, kaki serta kepala babi hutan, yang kesemuanya disimpan di dalam sebuah unit Cool Box.

Rampasan dilakukan kerana memiliki hasil haiwan tanpa permit yang dilindungi menerusi Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua rakyat tempatan itu berumur 33 dan 34 tahun.

Katanya sekatan jalan raya pada 6.54 pagi itu adalah hasil maklumat awam membabitkan tiga kakitangan Jabatan Hiduan Liar, diketuai Pembantu Hidupan Liar Mohd Aznandy Md Yakub dan dibantu dua anggota Warden Kehormat Hidupan Liar.

Laporan polis mengenainya dibuat di Balai Polis Beluran dan kesemua haiwan dirampas untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Loading...